Penapis air jadi keperluan.

May 23, 2017 | | Say something
CONNIE S MONICAL

AKHIR-akhir ini, jualan penapis air semakin berkembang khususnya di laman sosial Facebook, dengan pelbagai jenama, jenis berserta promosi yang ditawarkan.

Permintaan menggalakkan dalam kalangan pengguna menjadi faktor perniagaan ini semakin aktif.

Bukan itu sahaja, ditambah kesedaran mendapatkan air bersih untuk keluarga, menjadikan pengguna membuat pilihan mementingkan penapis air untuk kegunaan di rumah.

Keadaan itu menyebabkan persaingan hebat dalam kalangan syarikat pengeluar penapis air di negara ini.

Bermacam-macam pilihan, jenis dan harga yang ditawarkan bagi menarik pengguna untuk mendapatkan penapis air yang diinginkan.

Sehingga kini, hampir 10 jenama penapis air yang terdapat di pasaran antaranya Coway, Dr Jabbar, Elken, Cuckoo, BioAura dan Hijrah.

Bagi pengguna yang menggunakan penapis air selama hampir 10 tahun, Norhayati Muslim, 45, keluarganya menggunakan dua penapis air di rumah.

Pada mulanya, keluarganya hanya menggunakan satu penapis air. Namun, satu tidak mencukupi dan akhirnya membeli satu lagi tiga tahun lalu.

“Penapis air ini perlu ada di setiap rumah kerana ia bukan kehendak tetapi satu keperluan.

“Mungkin orang sudah mula sedar tentang kebersihan air untuk diminum menyebabkan lambakan jualan produk penapis air di pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, jenama penapis air bukanlah satu faktor penting kerana ia hanya menentukan harga penapis air itu mahal atau tidak.

Norhayati memberitahu, semua fungsi penapis air adalah sama, bagaimanapun yang penting membeli mengikut kemampuan.

Sementara itu, Mohd Azri Abu Bakar, 21, berkata, keluarganya menggunakan penapis air lebih tujuh tahun dan sudah bertukar dua jenama.

“Bagi saya, jenama tidak penting tetapi fungsinya adalah keutamaan. Kini, penapis air menjadi satu keperluan bukan lagi kehendak.

“Bukan apa, selain air bersih ia juga menjimatkan elektrik, kita tidak perlu masak air,” katanya.

Menurutnya, promosi ansuran bagi produk-produk penapis air menjadi salah satu tarikan pengguna.

Servis dan waranti jadi tarikan

Berlainan pula dengan Nik Irviyanti Ishak, 45, yang berpendapat, servis dan jaminan ditawarkan menjadi tarikan pengguna membuat pilihan.

“Saya memilih jenama Coway kerana servis dan jaminan.

“Bukan itu sahaja, ia juga boleh dibeli dengan menggunakan dua cara iaitu tunai dan sewaan kerana tidak semua pengguna mampu membeli barang bernilai RM3,000 secara tunai,” katanya.

Menurutnya, dia pernah menggunakan jenama lain yang lebih murah tetapi produk tersebut tidak ada perkhidmatan selepas jualan.

Berbeza dengan Coway  katanya, yang memberikan jaminan terhadap servis yang terbaik dan secara percuma kepada pembeli.

Mengulas lanjut, Nik Irviyanti berkata, semua rumah perlu mempunyak penapis air kerana kebersihan air tidak dijamin.

“Saya memilih penapis air bagi tujuan kesihatan yang bertujuan untuk menjaga buah pinggang,” katanya.

Pengiktirafan halal naikkan jualan

Bagi pengeluar penapis air, kesedaran penggunaan penapis air dalam kegunaan harian menyebabkan jualan produknya meningkat.

Pengerusi Kumpulan Hijrah Water, Mohamad M Said berkata, produk yang diiktiraf halal juga menjadi salah satu tarikan pengguna.

“Ada juga syarikat pengeluar penapis air yang menerima sijil halal tetapi produk luar negara. Kami adalah produk Bumiputera,” katanya.

Faktor lain yang membantu jualan adalah penggunaan teknologi sisik ikan tilapia pertama di dunia itu pada 2014 telah menaikkan jualan produknya.

“Sebelum ini, syarikat Hijrah menggunakan teknologi cangkerang laut,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung, jualan Hijrah Water meningkat 70 peratus dan mendapat permintaan tinggi dari luar negara iaitu di Singapura, Brunei dan Doha.

Mohamad memberitahu, daripada segi persaingan, sememangnya tidak wujud kerana teknologi itu adalah yang pertama di dunia dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

Mengulas lanjut, peningkatan jualan dalam negara juga telah meningkat daripada RM2.3 juta pada 2013 kepada RM4.5 juta sejak awal tahun sehingga Ogos lalu.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/bisnes/penapis-air-jadi-keperluan-1.426001

Posted in: Penapis Air | Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *